Pengarah Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan, Abdul Kadir Rais bersama Timbalan Pengarah Penjara Kajang, Basakaran Muthiah (kiri) mengatakan sesuatu kepada banduan yang dibebaskan, Mohammad disamping ibubapanya semasa mengadakan sesi pembebasan banduan secara berlesen di Penjara Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2019

KAJANG – Siapa yang tidak hiba atau sayu tatkala mendengar takbir raya, apatah lagi ketika berada berseorangan dalam tembok besi.

Sedih dan pilunya rasa hanya diri sendiri yang tahu.

Namun, sambutan Aidifitri tahun ini amat berbeza buat Muhammad berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Dia tidak lagi bersama sebahagian para penghuni penjara beragama Islam yang berpeluang bertemu dengan keluarga masing-masing pada hari raya ketiga dan keempat.

Tahun ini, Muhammad, 36, menjadi banduan bertuah di Penjara Kajang apabila 1 Syawal esok akan diraikan bersama-sama keluarga tersayang dan tunang yang dikasihi.

Muhammad bertuah kerana dia dibenarkan secara Pelepasan Berlesen selama tujuh hari sehingga 10 Jun ini untuk berhari raya bersama keluarga di Rawang.

“Saya bersyukur kepada Penjara Kajang kerana memberi peluang pertama kali balik beraya bersama ahli keluarga dan tunang saya.

“Saya rasa ini (pelepasan berlesen) satu pelengkap kepada program pemulihan yang saya sudah lalui selama tujuh tahun dan tujuh hari ini umpama ujian untuk integrasikan semula diri saya dalam masyarakat hari ini.

“Saya memang yakin dapat kelulusan ini kerana ia bukan perkara baharu dalam Jabatan Penjara…selama ini memang sudah ramai yang dibenarkan berhari raya bersama keluarga dan saya bertuah menjadi salah seorang daripadanya.

“Yang penting esok, pagi Syawal saya akan bangun awal dan bermaaf-maafan dengan ibu abah, adik beradik dan ahli keluarga serta luangkan masa bersama tunang yang sudah lama menunggu kehadiran saya.

“Saya juga tidak sabar nak merasai juadah ketupat daun palas dari air tangan ibu,

“Selepas kali terakhir berkomunikasi dengan tunang dan ahli keluarga Jumaat lalu, sesiapa pun tidak tahu saya akan dibebaskan berlesen hari ini sehinggalah pagi tadi,” ujarnya anak sulung dari empat beradik,” katanya kepada pemberita di sini tanpa berkongsi punca beliau menjalani hukuman penjara tersebut.

Muhammad yang masih ada berbaki sembilan bulan penjara, menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atasnya bukan penamat atau titik noktah, sebaliknya ia menjadi pengajaran dan pedoman hidup selepas menyertai program pemulihan yang disediakan penjara.

Menurutnya, program pemulihan dan bimbingan semua pegawai Penjara Kajang membolehkan dia melangkah ke menara gading dan menggenggam segulung Ijazah Muda dalam Sains Politik di Universiti Terbuka Malaysia.

“Saya bersyukur pegawai penjara membantu saya berjaya dalam akademik dengan menyediakan ruang membaca mengulangkaji dan menyediakan kertas kerja serta ilmiah dengan segala kemudahan makmal komputer yang saya perlukan setiap hari sehinggalah hadir konvokesyen OUM di PWTC tahun lalu,” katanya.

Muhammad kini mahu meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Sastera Sosial dalam Kriminologi bidang Kemanusiaan di USM nanti.

Dia mengakui kunjungan keluarga setiap dua minggu dan kesetiaan tunang menunggu telah menyuntik semula semangat untuknya mengharungi kehidupan di penjara dengan tabah.

Katanya kemunculan serta perkongsian pengalaman bekas banduan yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kriminologi dalam bidang akademik memberinya inspirasi untuk memilih bidang sama.

Muhammad juga berpendapat, banduan atau penghuni tidak perlu sembunyikan identiti, sebaliknya perlu menonjolkan diri kalau betul betul sudah berubah dan mahu diterima dalam masyarakat.

“Ini bukan bermakna penonjolan tidak sihat.

“Ingat masuk penjara tidak semestinya berakhirnya kehidupan. Yang penting kita mempunyai azam kuat untuk berubah,” tegasnya.

Dalam pada itu Timbalan Pengarah Kajang, M. Basakaran berkata, seramai dua penghuni penjara dibebaskan secara berlesen untuk bersama-sama beraya pada Aidilfitiri tahun ini.

Selain Muhammad, seorang lagi banduan Cina berasal dari Johor juga bakal diberi pelepasam itu.

Pelepasan berlesen sementara pertama itu berdasarkan Seksyen 43 Akta penjara 1945.

Antara syarat kelayakan untuk mendapat pelepasam berlesen adalah banduan telah menjalani hukuman sekurang-kurangnya selama 4 tahun dengan tempoh hukuman berbaki setahun lagi serta berkelakuan baik sepanjang tempoh tahanan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan Watikah pelepasan berlesen yang diterima oleh ahli keluarganya hadir pagi tadi.

Turut hadir Pengarah Penjara negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Komisioner Penjara Abd Kadir Rais dan Timbalan Penguasa Penjara Kajang, Mohd Hafiz B.Abd Latiff.

Katanya, kepada ibu bapa Muhamad akan dibimbing oleh Pegawai Parol yang ada di pekan Rawang dan tidak ada masalah untuknya keluar ke masjid bagi menunaikan solat Aidilfitri esok bersama ahli keluarga memandangkan dia berada dalam kariah yang ditetapkan. – MalaysiaGazette