KUALA LUMPUR – Sindiket ‘gadis kalung bunga’ yang beroperasi selama dua tahun ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di dua lokasi perniagaan sekitar di ibu negara, semalam.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresien Putrajaya menjalankan operasi itu pada jam 9 malam.
Katanya, serbuan dilakukan hasil aduan awam dan risikan dijalankan selama tiga minggu oleh pasukan operasi di dua premis perniagaan di Jalan Pudu dan Jalang Changkat Thambi Dollah, di sini.
Susulan itu, seramai 50 warga asing ditahan membabitkan lima lelaki warga Myanmar, dan masing- masing seorang lelaki warga China serta Nepal.
Turut ditahan 41 wanita warga China, tiga wanita warga Indonesia, dan seorang wanita Myanmar. Kesemua warga asing terbabit berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun, katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semasa serbuan dijalankan, kesemua wanita warga asing yang bekerja sebagai ‘gadis kalung bunga’ cuba melarikan diri dengan bersembunyi di bawah meja.
Malah terdapat pelanggan yang melakukan provokasi dengan membuat bising dan menghalang pasukan melakukan penggeledahan.
“Modus operandi sindiket ini adalah menyediakan perkhidmatan perempuan warga asing dengan kalungan bunga yang mempunyai harga berbeza.
“Setiap pelanggan akan diberi pilihan bagi memilih kalungan bunga mengikut kadar harga bermula RM100 hingga RM5,000 bagi setiap jam.
“Transaksi bayaran yang dilakukan pelanggan adalah secara tunai atau atas talian sebelum wanita warga asing itu diserahkan kepada pelanggan,” jelasnya.
Ruslin juga memaklumkan, kesemua warga asing itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan – Peraturan Imigresen 1966, Akta Pasport 1966 dan telah dibawa ke Depot Imigresen Semenyih.
Pihaknya juga menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan di bawah Seksyen 55 E Akta Imigresen 1959/63, dan seramai 20 lagi lelaki tempatan diberikan notis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















