Gianluigi Buffon. Foto Sportstar

LONDON – Penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon mengesahkan dia tidak akan menyambung kontrak di Paris Saint German (PSG) pada hujung bulan ini yang menyaksikan dia menjadi ejen bebas.

BBC Sport melaporkan, Buffon, 41, menerima tawaran baharu daripada PSG,namun dia  menolaknya atas faktor cabaran baharu di dalam kariernya.

Penjaga gol antabangsa Itali itu menyertai PSG musim lalu secara percuma dengan kontrak setahun.

Dia bermain dalam 25 penampilan untuk PSG musim 2018/19 dan membantu kelab itu mengekalkan kejuaraan Ligue 1.

Namun PSG terlepas gelaran Liga Juara-Juara dan Coupe De France.

Dalam kenyataan rasmi kelab tersebut, PSG berkata, selepas perbincangan di antara mereka dan Buffon, persetujuan bersama dicapai bahawa penjaga gol legenda tidak akan memperbaharui kontrak beliau yang akan berahir pada 30 Jun ini.

“Terima kasih di atas semua yang saya terima dan juga peluang untuk merasai pengalaman di Paris. Terima kasih di atas emosi yang kita kongsi bersama,” kata Buffon dalam kenyataan bersama itu. – MalaysiaGazette