Majlis perkahwinan bintang Arsenal, Mesut Ozil menjadi amat bermakna semalam apabila telah dihadiri Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan isteri, Emine.

ISTANBUL – Majlis perkahwinan bintang Arsenal, Mesut Ozil menjadi amat bermakna semalam apabila telah dihadiri Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan isteri, Emine.

Bekas pemain kebangsaan Jerman itu dan pasangannya, Amine Gulse mengakhiri zaman bujang di sini dalam satu majlis meriah yang turut dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat.

Namun apa yang mencuri perhatian, Erdogan turut dilihat menandatangani dokumen sebagai saksi pada majlis perkahwinan itu.

Dia dan Emine dilihat berdiri bersebelahan pasangan mempelai ketika upacara perkahwinan berlatarbelakangkan Selat Bosporus.

Pada bulan lalu, pemain tengah Arsenal itu dan pasangannya dikatakan hadir ke Turki untuk satu majlis makan malam bersama Presiden Turki itu bagi menyerahkan jemputan majlis perkahwinan mereka.

Ozil dan Presiden Turki itu memiliki hubungan baik yang kuat namun tidak disenangi oleh Jerman.

Ini kerana Presiden Turki itu dianggap sebagai individu kontroversi di Jerman dan tidak mempunyai hubungan baik dengan pihak kerajaan.

Mei lalu, Ozil sendiri mencetuskan kontroversi apabila menyerahkan jersi Arsenal dengan tandatangannya dalam satu pertemuan di London.

Pertemuan tersebut dikritik pengurus kebangsaan Jerman, Oliver Bierhoff yang mencadangkan pemain itu digugurkan daripada pasukan. – MalaysiaGazette