Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Lagi pihak tampil mempertikaikan pelantikan bekas pimpinan pusat PKR, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Terbaharu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPPM) membidas cara pelantikan yang seolah-olah membelakangkan janji yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) khasnya tentang lantikan politik.

Menurut Presiden PPPM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, pihaknya yakin serta tidak menentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Latheefa bahawa beliau akan berjuang bermati-matian dalam membanteras rasuah di negara ini.

Namun, kata Zainul, pihaknya sama seperti pemimpin serta rakyat lain bimbang dengan cara pelantikan yang dilakukan tanpa sebarang rundingan dengan mana-mana pihak berkepentingan seperti barisan Kabinet mahupun Jawatankuasa Khas Parlimen.

Jelas Zainul, walaupun Latheefa sudah meletak jawatan dari PKR namun secara umumnya semua sedia maklum selama bertahun perjuangan beliau dalam parti tersebut malah pernah menjawat jawatan pimpinan pusat sebelum ini.

“Ini semua menjadi persoalan, dari janji manifesto sebelum kemenangan PRU-14 kemudian pelantikan dilakukan tanpa rundingan atau rujukan kabinet mahupun jawatankuasa khas Parlimen seperti yang dijanjikan selain latarbelakang perjuangan politik Latheefa.

“Semua ini perlu diambil kira dan penjelasan yang sewajarnya perlu diberikan kepada umum kerana ketika ini ianya seolah-olah tidak boleh dikawal kerana masing-masing tidak senang dengan pelantikan tersebut.

“Terus terang saya katakan, lantikan ini sebenarnya akan menyebabkan umum hilang kepercayaan terhadap kerajaan mahupun institusi kerajaan selepas ini. Ingat apa yang telah dijanjikan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Zainul menambah pihaknya sangat berharap kerajaan akan melakukan sesuatu bagi menghentikan keadaan semasa yang ternyata semakin lama semakin mengurangkan rasa percaya umum terhadap kepimpinan PH pada masa ini.

“Kita sangat berharap sesuatu akan dilakukan, kerajaan perlu menjawab isu ini dengan baik sekali,” tegasnya. –MalaysiaGazette