Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull bercakap pada sidang media mengenai perletakan jawatannya di Hotel Everly, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 08 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan sejumlah 1,300 tangkapan sepanjang tempoh setahun lalu.

Ia merupakan angka tangkapan paling besar yang pernah direkodkan dalam sejarah SPRM dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

“Sebanyak 1,300 tangkapan oleh SPRM termasuk 30 ahli politik besar, VVIP atau ‘ikan besar’, 13 pegawai pengurusan tertinggi kerajaan. Ini tidak pernah berlaku dahulu.

“30 orang CEO GLC (syarikat milik kerajaan) dan swasta dan 137 pegawai pengurusan profesional,” katanya dalam sidang media di sini.

Daripada jumlah itu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, sebanyak 91 peratus kes telah disabitkan dengan rasuah.

Kejayaan SPRM itu, katanya, menjadikan Malaysia setaraf dengan Singapura dan Hong Kong dalam membanteras rasuah.

Malah, Malaysia juga mendapatkan pengiktirafan antarabangsa apabila SPRM dinobatkan sebagai ‘The Most Emerging Enforcement for 2018’ dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Susulan kejayaan itu, berduyun-duyun delegasi luar mahu belajar dengan SPRM, selain pegawai SPRM juga kerap terlibat dalam forum.

Dalam pada itu, Mohd Shukri yang menamatkan perkhidmatan baru-baru ini berkata, walaupun mahu melepaskan jawatannya namun beliau tidak lagi teruja seperti mana yang dirasai ketika bersara awal pada tahun 2016.

Ketika itu beliau bersara sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM tetapi kembali sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei 2018.

“Tak excited, biasa sahaja. Tidak seperti awal dulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette