Dalam kejadian jam 3.27 pagi itu, polis menahan sembilan lelaki di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara terlanggar bahu, seorang lelaki cedera parah selepas dibelasah oleh sekumpulan 20 lelaki dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Dataran C180, Cheras Selatan, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.27 pagi itu, polis menahan sembilan lelaki di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kekecohan tercetus di pusat hiburan berkenaan selepas seorang daripada sekumpulan lelaki itu bertindak membaling kerusi ke arah pengunjung yang bergesel bahu.

“Salah seorang daripada mereka juga menghubungi rakan-rakan lain sebelum 20 orang tiba dan menyerang mangsa itu sehingga cedera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ekoran kejadian itu, Ahmad Dzaffir berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Kajang dan kini dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat mengalami kecederaan dalaman.

Menurutnya, kesemua suspek akan ditahan reman esok untuk siasatan lanjut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat (IO) kes, Inspektor Kunalan di talian 014-6124325.

— BERNAMA