Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebih 1,200 tan sampah dikutip oleh petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sepanjang dua hari cuti sempena Hari Raya Aidilfitri minggu lalu.

Dalam satu kenyataan MBI memaklumkan, jumlah sampah yang dikutip itu termasuk sampah di kawasan kediaman, pasar, longgokan sampah haram dan di sekitar pusat bandar.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembersihan bagi kutipan sampah di kawasan kediaman dan pasar berkenaan melibatkan 67 orang petugas dengan menggunakan 17 buah lori.

Kira-kira 600 tan sampah dikutip setiap hari pada kedua-dua cuti perayaan itu berbanding 500 tan pada hari biasa dan seramai 64 orang petugas bersama dua lori sampah digunakan bagi mengutip sampah haram dan di sekitar pusat bandar.

“Kutipan sampah yang meningkat ini khususnya daripada kawasan kediaman merupakan jumlah biasa pada musim perayaan seperti Aidilfitri.

“Walaupun hari cuti, namun jadual bagi kerja-kerja pembersihan termasuk di kawasan bandar tetap dilakukan seperti biasa,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette