Presiden Parti BERJASA, Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz. foto AFFAN FAUZI, 29 MEI 2019
Presiden Parti BERJASA, Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz. foto AFFAN FAUZI, 29 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) tidak mempunyai sebarang halangan untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pas dan UMNO.

Presidennya, Datuk Dr. BadhrulHisham Abdul Aziz berkata, pada masa ini banyak aktiviti dilakukan oleh Pemuda parti itu secara bersama-sama dengan Pemuda kedua-dua parti berkenaan kerana gabungan ketiga-tiga parti itu berada dalam satu kelompok Gagasan Sejahtera.

Katanya, langkah yang dilakukan adalah sebagai menyahut seruan Allah di dalam al-Quran apabila mahu masyarakat hidup dalam kesepakatan dan kesejahteraan.

“Ini bukannya perkara yang Berjasa nak sangat ataupun UMNO ataupun Pas. Tetapi ini adalah satu arahan daripada Allah S.W.T.

“Kita menolak tohmahan daripada parti kerajaan yang mengatakan apabila kita berbaik dengan UMNO, maka kita nak berbalik kepada rasuah dan sebagainya.

“Saya nak tegaskan, kita menolak rasuah. Kita juga tolak cauvinis dan sebarang bentuk rasis,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru imi.

BadhrulHisham menegaskan, disebabkan itu blok yang diwujudkan bersama kedua-dua parti besar berkenaan perlu diisi kepemimpinannya dengan individu yang benar-benar bersih daripada sebarang isu.

“Kita tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pas dan UMNO meletakkkan calon-calon yang mampu dan kompetan dalam melaksanakan tanggunjawabnya secara jujur kepada rakyat,” ujarnya.

Sebelum ini, pada satu sidang media, BadhrulHisham mengumumkan, parti pimpinannya itu akan bertanding dalam skala yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, parti itu akan menumpukan negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung dan akan tampil dengan semangat mengulangi seruan kesepakatan orang Melayu dan Bumiputera dengan slogan “Calon Muslim Berwibawa” yang dilancarkan pada PRU13 lalu.

Langkah tersebut diambil selepas parti itu melihat situasi terhakisnya dominasi kuasa politik orang Melayu yang sampai ke kemuncaknya pada PRU14 lalu.

BadhrulHisham turut mendakwa, negara kini ditadbir oleh pakatan blok politik didominasi oleh parti cauvinis dan rasis yang rakus menggunakan kesempatan tempoh berkuasa dengan mengubah segala polisi serta dasar yang menyebelahi orang Melayu, sekali gus menggugat kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan institusi raja berdaulat. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/29/berjasa-mahu-bertanding-pada-skala-besar-pada-pru15/