Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2019.

PUTRAJAYA- Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bersetuju untuk menghidupkan semula Majlis Produktiviti Negara (NPC) bagi menetapkan panduan dan hala tuju strategik serta memacu agenda produktiviti secara menyeluruh.

Menurut satu kenyataan yang EAC di sini hari ini, keanggotaan NPC akan disusun semula supaya keahliannya terdiri daripada golongan berpengalaman dan berkepakaran untuk mengenal pasti isu dan masalah produktiviti di semua peringkat.

“Peningkatan keupayaan dan kebolehan melalui pendidikan serta latihan kemahiran akan diberi keutamaan.

“Peningkatan pendapatan yang berasaskan peningkatan produktiviti akan memastikan rakyat akan menikmati sepenuhnya pertumbuhan lebih inklusif.

“Oleh itu, EAC telah membincangkan pelbagai usaha untuk meningkatkan produktiviti melalui pemerkasaan, pendidikan dan penggunaan teknologi lebih canggih,” katanya.

EAC mengadakan mesyuarat kali ketiga selepas penubuhannya pada Februari lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tambah kenyataan itu, jawatankuasa eksekutif (EXCO) EAC yang diketuai oleh bekas Gabenor Bank Negara yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menganalisis isu-isu semasa yang telah dikenal pasti dan akan mengemukakan cadangan untuk pertimbangan EAC.

Exco-exco EAC akan berunding dengan semua pemegang taruh, katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah pun memulakan proses penyediaan pelan pembangunan negara Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021-2025.

RMK12 yang berpaksikan agenda Kemakmuran Bersama akan mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak dan akan dilaksanakan secara menyeluruh.- MalaysiaGazette