Penempatan sementara orang asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

KUALA LUMPUIR – Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata mustahil kerajaan negeri Kelantan tidak mengetahui terdapat kawasan perlombongan bijih besi berhampiran penempatan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menafikan perkara itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau berkata semakan yang dibuat pihaknya menunjukkan pelombong berkenaan memperoleh lesen untuk melombong sehingga tahun 2023.

“Sebelum sesebuah syarikat itu dibenarkan melombong di sesuatu kawasan, mereka perlu mendapatkan lesen melombong daripada kerajaan negeri dan lesen pengoperasian daripada kerajaan pusat, jika tidak mereka dikategorikan sebagai pelombong haram.

“Hasil semakan, kita mendapati syarikat berkenaan memperoleh lesen perlombongan sehingga 2023…tetapi lesen pengoperasian yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat telah tamat pada 2017 disebabkan syarikat itu tidak mematuhi Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Jadi kenyataan itu (tiada kawasan perlombongan bijih besi) memang tidak masuk akal kerana saya sendiri telah turun padang dan mesin untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan masih ada di kawasan itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Mohd Amar memaklumkan kepada media, tiada sebarang rekod mengenai aktiviti perlombongan yang sah di kawasan itu dan perkara itu turut diakui Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sendiri.

Mohd Amar dilaporkan berkata dakwaan bahawa penduduk dijangkiti radang paru-paru kerana sumber air tercemar akibat kewujudan lombong haram itu tidak tepat kerana penyakit berkaitan pernafasan itu adalah sejenis penyakit bawaan udara.

Mengulas tentang perkara itu, Tengku Zulpuri berkata jika ia disebabkan penyakit bawaan udara, mengapa hanya suku Batek sahaja yang terkena jangkitan penyakit berkenaan.

“Jadi masih terlalu awal juga untuk mengatakan penyakit ini bukan berpunca daripada sumber air walaupun sebelum ini Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) mengesahkan ia bebas daripada bahan radio aktif.

“Mereka perlu pantau kandungan air berkenaan untuk satu tempoh panjang melibatkan keadaan cuaca panas mahupun selepas hujan, barulah keputusan dapat diperoleh dengan tepat dan bukannya dengan mengambil sekali sahaja bacaan,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan semalam mengesahkan setakat ini, sumber air di beberapa tempat sekitar Kuala Koh bebas daripada sebarang pencemaran dan radioaktif, berdasarkan kepada ujian dan pengesanan menggunakan alat pengesan pencemaran ke atas sampel air dari kawasan bekas tapak lombong, air tandak, air dari kawasan Aring 10, air sungai dan lain-lain sumber berhampiran.

— BERNAMA