KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan harus memantau rekod pekerja setiap tahun bagi memastikan tiada rekod jenayah dikaitkan dengan pekerja.

Isu pemantauan ini amat serius sekali apabila terdapat pekerja-pekerja syarikat penerbangan mempunyai rekod jenayah.

Malah, baru baru ini Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) telah dimaklum mengenai seorang kru kabin ditangkap kerana memecah masuk kedai dobi dan suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lama dalam sistem PDRM.

Menurut NUFAM, kes-kes jenayah harus direkodkan jika benar seorang pekerja itu pernah ditahan atau disabit jenayah serius.

“Syarikat penerbangan harus memastikan tapisan pekerja dilakukan secara perinci kerana ia melibatkan banyak aspek terutama sekali isu keselamatan.

“Kesatuan bimbang kes kes jenayah lama melibatkan pekerja ini juga tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa atas sebab alasan mahu tutup kes dan tidak cukup kakitangan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua pekerja di syarikat penerbangan harus menjalankan saringan seperti dadah dan jenayah oleh Bukit Aman danĀ ia adalah proses awal sebelum pekerja itu diambil kerja oleh mana-mana syarikat penerbangan.

Berikutan itu, kesatuan tersebut mahu tindakan diambil ke atas syarikat penerbangan yang gagal mematuhi polisi keselamatan penerbangan di dalam negara. – Malaysiagazzette