Anak, Khairulizam A Rahman atau dikenali sebagai Khir Rahman (kiri) tidak dapat menahan sebak bersama adiknya, Khairulazmi A Rahman (kanan) semasa melihat pengkebumian Allahyarham Datuk A Rahman Hassan yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Jaga adab dan nilai kesopanan, itu nasihat Allahyarham Datuk A Rahman Hassan yang tidak akan dapat dilupakan oleh anaknya.

Kata pelakon dan pengarah, Khir Rahman ia seringkali disebut oleh bapanya sewaktu hidup.

“Ayah seorang yang tenang dan tidak pernah meninggikan suara. Arwah juga mementingkan kekemasan dan sangat disenangi orang lain kerana sikapnya itu. Peribadinya itu menjadi contoh kepada kami,” katanya.

Mengimbau personaliti bapanya, Khir berkata, bapanya merupakan seorang yang tegas dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu.

“Boleh dikatakan bapa ialah orang bahasa. Beliau terkilan apabila melihat atau mendengar penggunaan bahasa Melayu rojak dan ditutur sesuka hati,” tambahnya.

Ujar Khir lagi, bapanya sempat meluahkan hasrat supaya sambutan hari jadi cucu lelakinya diadakan di rumahnya ketika mereka bersama-sama menyambut 1 Syawal, baru-baru ini namun tidak kesampaian.

Penyanyi popular era 1960-an itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada usia 73 tahun akibat pendarahan pada bahagian otak pada tengah malam tadi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham.

MGF13062019_PENGKEBUMIAN A RAHMAN HASSAN_15
Jenazah Allahyarham Datuk A Rahman Hassan yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru diusung orang ramai untuk dikebumikan di Surau Al-Ansar, Keramat. foto FAREEZ FADZIL, 13 JUN 2019

Turut kelihatan rakan artis, termasuk Datuk Yusof Haslam, Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Fauziah Nawi, Noorkumalasari, Imuda, Herman Tino, Hail Amir, Bagio dan Zed Zaidi.

Selain itu, artis muda seperti Mark Adam dan Lan Solo turut mengiringi jenazah hingga selesai pengebumian bersama lebih 300 ahli keluarga dan sahabat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, pelakon Datin Fadilah Mansor dan dua orang anak termasuk Khir.-MalaysiaGazette