KUALA LUMPUR- Kira-kira 85 peratus inkuiri dan aduan berhubung peningkatan mendadak bil elektrik telah berjaya diselesaikan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Amir Hamzah Azizan, fokus syarikat utiliti negara itu sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan terperinci mengenai isu berkenaan.
“Setakat semalam, kita sudah terima 18,600 aduan dan pasukan kami sudah selesaikan lebih 15,000 kes.
“Alhamdulillah ada progres. Sekarang kami mahu fokus untuk memuktamadkan siasatan secara terperinci.
“Setakat ini, pasukan kami telah pergi ke rumah-rumah pelanggan, membuat ujian meter dan memberi nasihat yang sewajarnya kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TNB di sini hari ini.
Menurut Amir Hamzah, kebanyakan pelanggan telah menerima pemulangan lebihan pembayaran masing-masing sama ada dikreditkan terus kepada akaun TNB mereka atau akan dibayar secara tunai jika jumlahnya banyak.
Ketika ditanya mengenai tindakan Suruhanjaya Tenaga mengenakan penalti ke atas syarikat tersebut, Amir Hamzah memberitahu, pihaknya masih belum menerima apa-apa notis daripada suruhanjaya berkenaan.
Tambahnya, fokus TNB ketika ini untuk menyelesaikan masalah pelanggan terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada perkara-perkara lain.
Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin membuat kenyataan Suruhanjaya Tenaga Malaysia akan mengenakan penalti kepada TNB selepas didapati melanggar beberapa peraturan.
Jumlah keseluruhan penalti tersebut katanya akan diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga sendiri selepas ia menyerahkan senarai penuh kesalahan yang telah dilakukan oleh TNB.
Jelasnya, siasatan awal mendapati syarikat tersebut gagal memenuhi prestasi standard perkhidmatan yang telah ditetapkan oleh kementerian- MalaysiaGazette