Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) bersalaman dengan orang ramai semasa hadir pada Majlis Akrab Aidilfitri di Dataran Bukit Antarabangsa, Ampang. Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JUN 2019

KUALA LUMPUR- Mesyuarat Kabinet baru-baru ini telah bersetuju dengan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mesyuarat turut bersetuju agar prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu kekal pada masa sekarang.

“Tidak bincang dan setuju (pelantikan) dan prosedur sedia ada kekal.

“Sebarang cadangan akan dirujuk kepada Yang di Pertuan Agong selepas baginda bersetuju dengan cadangan dikemukakan oleh perdana menteri yang mewakili kerajaan dan tindakan akan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Akrab Aidilfitri Masjid Bukit Antarabangsa 2019 di sini hari ini.

Latheefa dilantik mengetuai SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya.

Pelantikan Latheefa yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM didakwa tidak menepati manifesto PH yang melarang pelantikan dalam kalangan ahli politik.

Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mulanya turut meminta Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan memberi penjelasan sewajarnya berhubung keputusan tersebut. – MalaysiaGazette