Pemain perseorangan China, Lin Dan (kanan), diiringi pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei (tengah) menewaskan pemain perseorangan senegara, Chen Long (kiri) dengan keputusan 9-21, 21-17, 21-11 ketika penyampaian hadiah pada perlawanan akhir, hari keenam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto NOOREEZA HASHIM, 07 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memberi penghormatan buat Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraan dalam arena badminton kelmarin.

IOC menerusi Twitter miliknya, Olympics menghasilkan video penghargaan khas buat bekas pemain nombor satu dunia itu yang berdurasi satu minit 40 saat.

“Terima kasih di atas inspirasi Lee Chong Wei. Diucapkan selamat maju jaya,” kata Olympics dalam status berkenaan.

Video berkenaan memaparkan perlawanan sengit Chong Wei dengan seteru utama, Lin Dan di Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 serta Rio 2016.

Ia mengimbau kembali perlawanan akhir antara kedua-dua legenda ini di Beijing dan London sebelum Chong Wei berjaya menumpaskan Lin Dan di pentas Olimpik buat kali pertama di separuh akhir di Rio 2016.

Olympics menganggap Chong Wei dan Lin Dan bukannya musuh tapi seteru di dalam gelanggang selepas sentiasa mempamerkan aksi epik di temasya berkenaan.

Selain berkongsi video berkenaan, peminat turut memberi komen bahawa kedua-dua pemain perseorangan lelaki ini adalah legenda dalam sukan badminton. – MalaysiaGazette