Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencuba kad 'UnionPay' ketika melawat pameran pada Pelancaran Kempen 'Go Cashless on Public Transport' di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang menggunakan sistem pengangkutan awam makin menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan menerusi operator pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara kemudahan disediakan ialah penggunaan tiket tanpa membeli secara tunai, sebaliknya menerusi sistem tanpa tunai.

Katanya, beliau pertama kali berpeluang menggunakan kereta api KLIA Transit dari Putrajaya ke KL Sentral dengan menggunakan mod pembayaran tanpa tunai di pintu masuk.

“Mod pembayaran tanpa tunai ini boleh dibuat melalui kad pintar ERL, Touch n Go, visa, Mastercard dan UnionPay yang boleh digunakan secara langsung di pintu masuk.

“Sebagai alternatif, orang ramai boleh membeli tiket KLIA Ekspres atau KLIA Transit di kaunter dan membayarnya secara Boost, GrabPay dan tidak lama lagi diperluaskan kepada Maybank QRPay.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua syarikat atas kejayaan bersama ini. Ia merupakan contoh yang sangat baik dalam inisiatif sektor swasta ke arah menyokong matlamat kerajaan,” katanya ketika berucap melancarkan “Go Cashless on Public Transport Campaign Launch” di KL Sentral di sini, hari ini.

Menurut Loke Siew Fook, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada dasarnya berpuas hati dengan perkhidmatan kereta api ERL yang telah beroperasi selama kira-kira 17 tahun.

Katanya, dalam tempoh itu, perkhidmatan ini yang berulang alik dari KL Sentral ke KLIA telah menjadi pengangkutan terbaik dan penting oleh orang ramai.

“Mereka telah menunjukkan pencapaian yang baik dengan mengekalkan piawaian tertinggi dalam pengurusan sumber, penggunaan tenaga dan teknologi.

“Mereka telah memenangi banyak anugerah berkaitan ciri-ciri keselamatan dan perkhidmatan pelanggan, inisiatif pemasaran serta komitmennya terhadap alam sekitar,” katanya.

Katanya, penggunaan inovasi teknologi sebagai usaha memperbaiki sistem tiket adalah satu lagi cara ERL memastikan perkhidmatan sentiasa memenuhi keperluan pelanggannya. – MalaysiaGazette