KUALA LUMPUR – Kabinet tidak membincangkan isu berkaitan video membabitkan seorang menteri yang dikaitkan dengan video seks bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Kabinet tidak berminat untuk membincangkan hal tersebut kerana tidak mengganggu tugas menteri Kabinet.
“Tiada, yang lepas isu itu baru berlaku dan kami tidak bincang perkara itu dan selepas itu kita dapati bahawa yang didakwa telah ditahan pihak polis.
“Saya rasa polis akan jalankan siasatan yang terbaik dalam selesaikan isu ini,” katanya adalah sidang media selepas mengumumkan kadar dividen Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Majlis Rumah Terbuaka Aidilfitri Nafas di sini hari ini.
Dalam pada itu Salahuddin menggesa rakyat supaya menolak politik kotor dan jijik kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa saja jika budaya negatif dibiar berterusan.
Katanya, budaya politik kotor ini dikhuatiri boleh memberi kemudaratan kepada Malaysia, sekali gus menjadikan negara ini tidak bertamadun.
“Jangan kita ketawakan, jangan berasa seronok atau gembira dengan fitnah yang kotor dan jijik ini. Ini kerana ia boleh berlaku kepada saya, keluarga dan kita semua (rakyat).
“Jika kita biarkan budaya ini berlaku dalam Malaysia, negara akan punah dan kita tidak akan menjadi negara bertamadun, malah politik baharu yang diharapkan semua rakyat di negara kita tidak akan tercapai.
“Jadi, saya mengajak semua rakyat Malaysia menolak politik kotor dan jijik, sebaliknya beri peluang pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu yang memalukan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette