Muhammad Fadhil Mohd Zonis

KUALA LUMPUR – Bapa kepada atlet berbasikal trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, malam tadi.

Mohd Zonis Mokhtar, 52, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.15 malam.

Kakak ipar Muhammad Fadhil, Nur Zatil Hidayah Dzulkifli berkata, bapa mertuanya dimasukkan ke hospital pada Hari Raya keenam selepas keadaan kesihatan beliau didapati merosot.

“Komplikasi buah pinggang dan kencing manis yang dihidapi abah sudah lama cuma tahun ini ia kelihatan serius,” katanya lapor Bernama.

Menurut Nur Zatil, jenazah akan dibawa terus ke Bukit Kerayong, Jeram sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di Bukit Kerayong pada 8 pagi hari ini.

Difahamkan, Muhammad Fadhil yang menjalani latihan skuad berbasikal trek negara di Melbourne, Australia telah diberikan cuti selama sebulan oleh Ketua Jurulatih John Beasley bagi memberi peluang menjaga bapanya. – MalaysiaGazette