Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya (dua kanan) menunjukkan senarai 41 responden diiringi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (dua kiri), Pengarah Perundangan & Pendakwaan SPRM, Datuk Umar Saifuddin Jaafar (kanan) dan Pengarah Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin (kiri) pada sidang media khas oleh SPRM berhubung tindakan undang-undang terkini SPRM berkenaan kes 1MDB di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Tiga syarikat korporat terkenal disenaraikan antara 41 responden yang disaman lucut harta bernilai RM270 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Jakel Trading, Habib Jewels Sdn. Bhd. dan Naza Quest Auto Sdn. Bhd. akan disaman lucut harta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Selain tiga syarikat itu, responden lain adalah UMNO Bahagian Pekan dan Johor Bahru, Wanita MCA, Badan Perhubungan UMNO seperti Selangor, Pahang, Kedah, Kelantan, Johor dan Sabah serta Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Individu yang terlibat pula adalah Tan Sri Kasitan Gadam, Datuk Seri Hassan Malek, Datuk Abdul Manan Ismail dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Turut disaman adalah Yayasan Permata Malaysia, Yayasan Rahah, Yayasan Tun Hussein Onn, Akademi Pemuda dan PEKIDA.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, sebanyak dua individu sebelum ini secara sukarela memulangkan semula wang dari dana 1MDB itu.

Beliau berkata, wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka yang secara sukarela menyerahkan semula wang yang diterima dari dana 1MDB tidak akan didakwa selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas kes 1MDB di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast