Pusat beli-belah Subang Parade

KUALA LUMPUR – Subang Parade yang pernah dikenali sebagai pusat membeli belah terpanjang di Asia Tenggara kini sedang melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian.

Kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang dilakukan selepas kali terakhir  dilakukan 12 tahun lalu, melibatkan peningkatan aset melalui penambahbaikan campuran penyewa dan juga mengganti sesetengah penyewa lama kepada penyewa baru dengan konsep terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Hektar REIT, Datuk Hisham Othman berkata, perniagaan runcit melalui kitaran kerana trend pengunjung sentiasa berubah, jadi pusat membeli belah mesti berubah untuk kekal relevan dengan keadaan semasa.

Menurut laporan tahunan Hektar Reit 2018, kadar penghunian Subang Parade menurun kepada 88 peratus sementara jumlah pengunjung jatuh sebanyak 21 peratus berikutan proses peningkatan asset dan penambahbaikan.

Tetapi Hisham yakin Subang Parade akan kembali melonjak selepas semua kerja-kerja tersebut selesai.

Subang Parade telah merekodkan 85.5 peratus kadar penghunian pada suku pertama tahun ini, tetapi menjangkakan angka tersebut melonjak semula.

“Kadar penghunian adalah rendah berbanding sebelumnya kerana kami melakukan peningkatan aset dan kami terpaksa melepaskan beberapa penyewa bagi menambahbaik pusat membeli belah ini.

“Kami percaya ia akan melonjak semula lebih dari 90 peratus sebaik sahaja kerja-kerja pengubahsuaian dan menukar beberapa penyewa selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Dari analisis keseluruhan dan maklum balas penyewa menunjukkan Subang Parade dikunjungi oleh para professional berikutan lokasinya yang amat hampir dengan kawasan pejabat komersial, para pelajar dari pelbagai kolej serta suri rumah yang tinggal di Subang Jaya.

Menurut beliau, Subang Parade masih kekal sebagai aset utama Hektar REIT dengan menyumbang 32 peratus daripada pendapatan kasar kepada portfolio syarikat.

Pengunjung akan menyaksikan jenama baru yang akan tampil dengan penampilan yang lebih menarik di Subang Parade pada beberapa bulan akan datang.

Restoran Vietnam Super Saigon Pho Café dan The Tarik Place akan menyertai rangkaian penyewa Subang Parade dan melengkapkan penyewa sedia ada termasuklah Novacell, Liang Sandwich Bar, Old Town White Coffee, Dodo Dim Sum and Bowls, Penyet Express dan Daiso.

“Ini akan menyediakan lebih banyak pilihan dan keselesaan untuk membeli belah nanti,” jelas Hisham. – MalaysiaGazette