ALOR SETAR – Seramai 14 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di sini disyaki mengidap penyakit chikungunya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Setar yang tidak menerima sebarang maklumat berkaitan kes tersebut telah menjalankan siasatan segera selepas kes itu tular di media sosial semalam.

“Siasatan awal mendapati gejala itu bermula pada 9 Jun lepas di mana kebanyakan mereka telah mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Berdasarkan tanda dan gejala yang dikesan telah mengesyaki mereka yang berumur antara 35 hingga 50 tahun itu berkemungkinan menghidap penyakit chikungunya, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari penyakit lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata, siasatan lanjut masih sedang dijalankan termasuk menghantar sampel untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor.

“Buat masa ini, PKD sedang menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan termasuk membuat pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan berkenaan.

“Sekiranya orang ramai terutamanya penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza mempunyai gejala demam dan sakit sendi dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan yang berdekatan,” katanya.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai kes itu akan dihebahkan dari semasa ke semasa dan orang ramai dinasihatkan mengelak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

“Kita juga menggesa semua pihak terutama masyarakat setempat mengambil tindakan pencegahan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi mencegah jangkitan chikungunya, denggi dan zika,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast