Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun parti itu tidak hancur sebagaimana doa dan kehendak ahli dan penyokong Pas.

Malah UMNO masih hidup di Parlimen dan di mana-mana.

Bezanya, kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, UMNO yang tewas pada PRU14 itu kini menjadi pembangkang, namun tahap Pas lebih sedikit daripada parti itu.

Pas kekal pembangkang, tetapi jumlah kemenangannya bertambah, katanya.

“Kini saya berdoa untuk UMNO. Saya berdoa semoga UMNO berubah dan menang kembali. Dulu sebaliknya. Dulu, saya berdoa dan aminkan doa agar UMNO kalah dan hancur.

“Ada yang teragak-agak. Kata mereka, muafakat dengan UMNO akan memberi nyawa kepada UMNO. Bukankah itu melanggar doa sendiri?

“Saya berkata, UMNO telah pun kalah. Tiada kekalahan sebesar kekalahan hilang kuasa di Putrajaya yang dikuasai UMNO lebih 60 tahun. Ia kesakitan yang melebihi kesakitan yang telah dialami oleh PAS pada sepanjang zaman melawan UMNO. Kekalahan UMNO adalah penawar bagi PAS. Doa ahli PAS diterima Allah,” katanya menerusi laman Facebook.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu, ada yang menyoal mengapa beliau tidak terus berdoa agar selepas kalah, UMNO terus hancur dan tak hidup-hidup lagi?

“Saya berkata, dulu kita berdoa agar UMNO kalah dan hancur kerana UMNO zalim. Zalim dengan kuasa di tangan. Tak perlulah dibilang-bilang kezaliman UMNO. Jenuh nak bilang.

“Kini dengan kekalahan dan tanpa kuasa, kezaliman baharu sudah tiada daripada UMNO. Ada UMNO zalim hari ini? Tak ada.

Nik Abduh berkata, yang ada adalah bebanan kezaliman lampau yang mana UMNO terpaksa memikulnya pada hari ini.

Tambah beliau, berikutan kekalahan itu UMNO datang kepada Pas dan meminta maaf atas kesalahan lampau dan ia dibuat secara terbuka.

Kata Nik Abduh bertanya adakah kita boleh terus mendoakan kepada mereka yang telah memohon maaf secara terbuka dan berjanji untuk bermuafakat?

Menurut beliau, perbalahan sesama umat bukan untuk selamanya dan puncanya perlu dicari, perhubungan sesama umat perlu disatukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast