KUALA LUMPUR – Pengurusan kes syarikat kontroversi Goldman Sachs Group Inc yang kini berdepan dengan dakwaan terbitan bon lebih RM27.31 bilion atau AS$ 6.6 bilion berkait dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar pada 30 September depan.

Mahkamah Majistret melalui majistretnya, Mohamad Fared Abdul Latif menetapkan tarikh berkenaan bagi memberi ruang lebih masa kepada pasukan pembelaan untuk menyerahkan dokumen mahkamah berhubung kes itu dengan lebih teratur hari ini.

Peguambela yang mewakili syarikat Golden Sachs, The Poh Teik ketika berhujah memohon tarikh sebutan baharu kerana anak guam mereka berada di luar negara dan memerlukan lebih banyak masa.

Kata Poh Teik juga, pasukan pembelaan hanya menerima tiga daripada empat pertuduhan yang diserahkan kepada unit Goldman Singapura dan ia tidak lengkap.

Syarikat itu telah menafikan semua tuduhan yang telah dikemukakan terhadap mereka sebelum ini.

Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB pada 19 Disember lepas.

Pasukan pendakwa raya telah menyerahkan saman kepada empat alamat kerana Goldman Sachs (Asia) LLC yang berpangkalan di London mempunyai dua alamat selain daripada Goldman Sachs International (UK) serta Singapura pada minggu lepas.

Baru-baru ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menggesa Goldman Sachs mengaku bersalah di atas peranannya dalam skandal rasuah besar-besaran membabitkan dana pelaburan 1MDB.

Pihak berkuasa AS menuduh ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low; bekas rakan perniagaan Goldman, Tim Leissner dan bekas ahli perbankan Goldman, Ng Ching Hwa, bersubahat mengubah secara haram berbilion dolar dana 1MDB, yang ditubuhkan untuk membiayai projek pembangunan. –MalaysiaGazette