KUALA LUMPUR – Platform MG Edisi Ke Lima anjuran MalaysiaGazette memberi fokus kepada aspek pemakanan yang seimbang, dengan menekankan kepentingan kecergasan fizikal sebagai langkah utama dalam mengekalkan kesihatan yang optimum.
Program yang dijalankan di Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan dihadiri peserta daripada pelbagai latar belakang dan usia.
Turut diadakan sesi soal jawab daripada peserta tentang topik yang dibincangkan iaitu Gaya Hidup Ke Laut, Punca Ramai Obesiti di Usia Muda?.
Menurut Editor MalaysiaGazette, Radzuan Hassan berkata, perbincangan seperti ini sangat relevan dalam membantu masyarakat membezakan antara fakta, mitos, dan realiti berkaitan pemakanan dan kecergasan.
Katanya, Platform MG Edisi kali ini memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami fakta sebenar tentang pemakanan dan teknik penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
“Dengan kupasan panelis ini kita dapat melihat apa fakta, apa auta dan apa mitos tentang pemakanan dan cara pemakanan yang kita tak sangka selama ini.
“Bila kita bincangkan isu ini dengan keadaan semasa dengan panel-panel yang mempunyai idea yang baik, kita dapat mendidik masyarakat dan mendidik diri sendiri bagaimana menjaga kesihatan dengan baik,” jelasnya.
Peserta program, Norzira Abdul Razak berpandangan, berkata pengisian yang diperoleh cukup bermakna dan tidak hanya relevan untuk diamalkan di rumah, tetapi juga sesuai untuk dikongsi bersama rakan-rakan dan keluarga, terutama bagi mereka yang ingin memulakan langkah ke arah gaya hidup sihat.
Katanya, program seperti ini mampu memberikan pendedahan mendalam tentang pemakanan yang betul dan amalan gaya hidup sihat, sekaligus membantu masyarakat memahami langkah-langkah praktikal untuk meningkatkan kualiti hidup.
“Saya rasa program macam ni memang bagus untuk diteruskan supaya kita boleh bagi kesedaran kepada orang ramai tentang masalah obesiti dan juga dengan adanya panel jemputan tu banyak ilmu yang kita dapat.
“Panel semua pun memang bagi jawapan yang sangat membantu, iaitu tips dari senaman, kemudian ada berkaitan dengan pemakanan.
“Selain tu, kita ada komunikasi dua hala, antara peserta dan juga panel. Memang bagus,” jelasnya.
Selain itu, Pembantu Perawatan Kesihatan, (PPK), Nur Zafira Zulkifli berkata, platform ini merupakan inisiatif yang sangat bermanfaat dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesihatan secara holistik.
Menurutnya, program seperti ini memberikan ruang kepada orang ramai untuk memahami aspek kesihatan dari pelbagai sudut, termasuk pemakanan, kecergasan, dan pemulihan obesiti.
Zafira turut berkongsi selain sesi diskusi yang kaya dengan maklumat, aktiviti Zumba adalah antara yang paling menarik perhatiannya.
Katanya, aktiviti berkenaan bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberi kesedaran tentang pentingnya kekal aktif untuk menjaga kesihatan.
“Memang best zumba dia, terbaiklah. Saya harap aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi,” jelasnya.
Platform MG Edisi ke Lima yang diadakan di Pusat Rehabilitasi Cheras hari ini menampilkan panelis hebat iaitu jurulatih kecergasan terkenal, Kevin Zahari, Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Pusat Rehabilitasi Cheras serta selebriti terkenal tanah air, Diana Danielle.
Selain sesi diskusi yang mendalam, aktiviti Zumba turut menjadi salah satu tarikan utama program. -MalaysiaGazette