Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh (dua kanan) serta yang lain melakukan gimik perasmian Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin tindakan Moody’s Investors Service (Moody’s) menurunkan penarafan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) tidak akan menjejaskan operasi syarikat petroleum negara itu.

Tambahnya, pernilaian yang diberikan oleh sesebuah syarikat penarafan tidak semestinya betul dan melihat kepada apa yang sedang diusahakan dan dimiliki oleh Petronas, beliau yakin syarikat tersebut tidak akan terjejas.

“Itu dia (Moody’s) punya penilaian.

“Tidak semestinya dia betul, kadang-kadang orang ini membuat penilaian yang tidak betul tetapi kita tidak boleh tegur kerana mereka bebas.

“Tetapi dari segi apa yang kita lihat Petronas ada dan sedang usahakan, saya yakin penurunan penarafan itu tidak akan menjejaskan operasi mereka,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-20 di sini hari ini.

Jumaat lalu, firma penarafan antarabangsa, Moody’s menurunkan penarafan penerbit domestik dan mata wang asing senior tidak bercagar Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada A2 daripada A1 serta mengubah unjuran kepada ‘stabil’ daripada ‘negatif’.

Menurut Moody’s, metrik kredit syarikat minyak negara kekal itu kukuh, namun diberikan penarafan menurun disebabkan semakan semula metodologi silang sektor.

Moody’s menyiarkan metodologi rentas sektor yang dikemas kini bertajuk ‘Menilai Impak Kualiti Kredit Kerajaan pada Penilaian Lain’ pada 20 Jun

Tambahnya, hubungan rapat antara kerajaan Malaysia (stabil A3) dan Petronas berdasarkan metodologi yang disemak semula itu tidak boleh menyokong penarafan bagi Petronas iaitu dua kedudukan lebih tinggi berbanding negara Malaysia.

Hubungan syarikat dengan negara (Malaysia) mewujudkan potensi campur tangan kerajaan yang mungkin mempunyai kesan negatif terhadap profil perniagaan atau aliran tunai syarikat, kata firma berkenaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan kedudukan ekonomi negara juga bakal diberikan penarafan menurun, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia tidak semestinya perlu mengikut penarafan yang diberikan oleh sebarang firma.

“Agensi penarafan ini tidak semestinya kita kena ikut,” jawabnya ringkas.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir menggesa semua pemain industri membincangkan secara serius mengenai cabaran yang dihadapi oleh industri minyak dan gas termasuk kemungkinan untuk membuka peluang baharu bagi mendapatkan pengetahuan serta kepakaran dengan menjalinkan kerjasama dengan sektor-sektor lain.

Ini katanya bagi mencipta penyelesaian-penyelesaian baharu dalam sektor tenaga.

Negara-negara Asia juga katanya perlu meneroka peluang-peluang yang ada untuk menambah baik keberkesanan tenaga pada harga yang mampu milik dengan mempelbagaikan sumber.

“Walaupun penggantungan terhadap bahan api fosil dijangka kekal stabil, Asia telah melakukan perubahan dengan menggunakan bahan api kurang karbon seperti gas asli yang mana Malaysia merupakan pengeksport LNG terbesar ke negara-negara seperti Jepun, Korea dan Taiwan,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, negara-negara di Asia juga perlu mengiktiraf potensi jiran-jiran mereka dengan membentuk pakatan strategik bersandarkan dasar “Kayakan Jiran Anda” atau Prosper-Thy-Neighbour yang mempromosikan konsep berkongsi kekayaan.- MalaysiaGazette