Dr Daroyah Alwi

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Wanita PKR (Keadilan), Faizah Ariffin diminta menarik semula kenyataan yang meminta Zuraida Kamaruddin angkat kaki keluar daripada parti berkenaan.

Ini kerana, kenyataan itu disifatkan beremosi dan peribadi, selain menggambarkan beliau tidak boleh menerima pendapat orang lain.

Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat, Dr Daroyah Alwi berkata, kenyataan Faizah itu tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang yang berjawatan dalam pimpinan wanita dan tidak langsung membawa kebaikan, malah memecahbelahkan permuafakatan dalam parti.

Menurutnya, Naib Presiden PKR itu hanya melahirkan pandangannya tentang tindakan parti Keadilan yang dilihat begitu berlembut dalam isu pemecatan Haziq.

“Adakah kita tidak langsung boleh memberikan pendapat dan pandangan? Adakah kita mahu simpan orang yang angguk saja? Ia jelas bercanggah dengan semangat reformasi yang kita perjuangkan sejak 20 tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, sebagai seorang naib presiden parti yang kini mengetuai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida telah banyak berjasa kepada PKR terutamanya kepada wanita dalam mengangkat 30 peratus kepimpinan wanita dalam pelbagai peringkat membuat keputusan.

“Faizah diminta menarik balik kenyataan kasar yang dilemparkan kepada Zuraida.

“Apatah lagi serangan tersebut dilakukan terhadap seorang pemimpin wanita yang juga orang yang telah membantu membawa Faizah dalam kepimpinan wanita Keadilan sebelum ini.

“Pimpinan Keadilan dinasihat supaya tenang dan tidak mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette