MIRI – Polis menaham enam sekeluarga termasuk dua wanita kerana menghalang laluan masuk ke tapak projek sub stesen elektrik milik Sarawak Energy Berhad (SEB) pada 7.50 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, enam sekeluarga yang terdiri daripada empat lelaki serta dua wanita pada awalnya telah dinasihatkan untuk mengalihkan kenderaan milik mereka di laluan itu supaya kenderaan SEB dapat memasuki ke dalam tapak projek namun tidak diendahkan.

“Polis terpaksa menggunakan sedikit kekerasan untuk menangkap mereka dan dibawa ke balai polis, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang kerja penjawat awam,” katanya dan menambah seramai 46 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri diketuai beliau sendiri menyertai operasi itu.

Lim berkata, operasi membuka halangan serta khemah haram yang didirikan oleh penduduk Kampung Lereng Bukit, Miri untuk menghalang projek sub stesen elektrik SEB telah mula dijalankan 6 pagi ini dengan penglibatan pelbagai jabatan antaranya SEB serta Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

“Sebelum ini halangan dan khemah haram telah dibuat oleh penduduk kampung berkenaan untuk menghalang kontraktor SEB memasuki ke tapak pembinaan projek berkenaan kerana isu tuntutan tanah,” katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung terbabit mendakwa tapak tanah projek tersebut adalah tanah adat milik mereka dan meminta SEB membayar pampasan.

“Kes telah dibawa ke Mahkamah Tinggi Miri dan keputusan telah memihak kepada SEB dengan mahkamah mengeluarkan perintah supaya halangan haram perlu dibuka serta kerja pembinaan diteruskan,” katanya.

Untuk rekod, projek sub stesen bernilai RM10.5 juta itu bermula pada awal 2017 dan sepatutnya beroperasi pada Ogos 2018 namun isu tuntutan tanah mengakibatkan projek tergendala buat sementara waktu.

Projek tersebut dilaksanakan oleh SEB untuk meningkatkan lagi bekalan elektrik di kawasan komersial bandar raya Miri memandangkan sub stesen sedia ada sudah beroperasi lebih 30 tahun.

Operasi tersebut telah menyebabkan kesesakan di sekitar Jalan Pujut-Lutong awal pagi ini yang merupakan antara laluan tersibuk di bandar raya ini, namun keadaan trafik masih terkawal dan ianya menjadi tular di media sosial.

— BERNAMA