PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lagi gagal mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung kes seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan ‘Abdullah’ dalam sijil kelahiran.

Peguam Nizam Bashir, yang mewakili pasangan suami isteri Islam dan anak terbabit, berkata beliau dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob, yang mewakili pihak kerajaan, bahawa penyelesaian di luar mahkamah gagal dicapai.

Justeru, katanya, Jabatan Peguam Negara mahu meneruskan dengan kes rayuan tersebut.

Perkara tersebut dinyatakan semasa pengurusan kes menerusi sistem E-Semakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Norhafizah Zainal Abidin, hari ini.

Berikutan perkembangan itu, tujuh panel hakim Mahkamah Persekutuan akan meneruskan pendengaran semua rayuan JPN terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya, 16 Ogos ini.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada pasangan dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak Ketua Pengarah JPN menggantikan nama “Abdullah” pada kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulis 25 Julai 2017 memutuskan nama anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah boleh “dibin atau dibinti” nama bapanya, bukannya “Abdullah”.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, yang menyampaikan penghakiman tersebut, berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama “dibin atau dibinti” kepada anak luar nikah.

Pada 8 September 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN, Ketua Pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.