KOTA BHARU – Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, optimis akan menamatkan misi kayuhannya sepanjang 2,200 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung tanah air dan selatan Thailand lebih awal berbanding sasaran asal selama 15 hari.

Wan Hashim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wan berkata beliau telah berjaya membuat kayuhan sepanjang lebih 9,000 km dalam tempoh enam hari sejak memulakan misi kayuhannya pada 22 Jun lepas.

“Sepanjang tempoh enam hari itu saya berjaya membuat kayuhan antara 140 km hingga 150 km sehari. Memasuki hari ketujuh hari ini saya mahu tingkatkan jarak kayuhan melebihi 150 km sehari untuk menamatkan kayuhan lebih awal,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Wan Hashim berkata dengan kayuhan melebihi 150 km sehari itu beliau hanya memerlukan tempoh kurang daripada lapan hari bagi menamatkan kayuhan yang berbaki 1,400 km.

Katanya hari ini, beliau dijadual akan meneruskan kayuhan dari Tanjung Malim, Perak ke Mantin, Negeri Sembilan dengan jarak sejauh 140 km.

“Bagaimanapun saya ingin cabar kemampuan diri dengan membuat kayuhan sehingga ke Seremban, Negeri Sembilan hari ini dengan jarak kira-kira 180 km,” katanya.

Katanya berdasarkan kesihatannya yang baik dan perjalanan kayuhan yang lancar setakat ini beliau menaruh harapan tinggi untuk mencipta rekod peribadi kelimanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) lebih awal.

Dalam misi kayuhan kelimanya ini, Wan Hashim dijadualkan akan menamatkan kayuhan sejauh 2,200 km dalam tempoh 15 hari bermula 22 Jun lepas.

Berkongsi pengalaman sepanjang minggu pertama kayuhannya, katanya beliau amat bertuah kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak malah ada yang menawarkan diri membiayai penginapannya.

“Alhamdulillah ramai yang sudah mengenali Pak Wan selepas empat kali membuat kayuhan sebelum ini. Ramai juga yang belanja makan minum Pak Wan selain turut membayar kos penginapan,” katanya.

Sebagai duta Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Wan Hashim tidak lupa menyebarkan mesej tentang kepentingan berita benar kepada masyarakat.

Katanya ia tanda penghargaannya kepada KEMUDI yang banyak menyokongnya sepanjang usahanya mencipta empat rekod MBOR sebelum ini.

Pak Wan mencipta rekod MBOR kali pertamanya pada 2014 sebagai lelaki tertua yang berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km.

Beliau kemudiannya mencatakan lagi nama dalam MBOR pada 2015, 2017 dan tahun lepas dengan jarak paling jauh 5,319 km bagi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia.- BERNAMA