KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kehilangan khidmat pemain lagenda Brazil, Ronaldo yang sepatutnya beraksi dalam persahabatan amal ‘JDT All-Stars’ di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Perkembangan itu diberitahu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook Johor Southern Tigers dengan menjelaskan bekas penggempur Real Madrid itu tidak dapat bersama pasukannya kerana memiliki komitmen lain.

“Esok adalah hari yang bersejarah di Larkin kerana kita ada 12 legenda bola sepak dunia dan enam pemenang Piala Dunia yang akan beraksi bagi perlawanan amal ini.

“Cuma sedikit perubahan adalah kita ada David Trezeguet yang akan menggantikan tempat Ronaldo. Trezeguet juga bukanlah pemain yang calang calang kerana dia diundi sebagai kesebelasan terbaik sepanjang zaman Juventus dan juga pemenang Piala Dunia.

“Jadi saya teruja untuk bersama pemain legenda ini bagi perlawanan esok dan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sumbangan kepada yayasan yang terbabit dengan perlawanan ini,” katanya.

Pasukan JDT-TMJ yang dibarisi pemain lagenda antaranya Robert Pires, Claude Makelele dan Esteban Cambiasso akan menentang pasukan JDT-Rest of The World yang dibarisi antaranya Louis Saha, Bebeto dan Claudio Caniggia.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut mengumumkan satu majlis penuh gemilang bagi menyambut kejayaan skuad Harimau Selatan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut akan dilangsungkan pada 19 Julai ini.

“Kami akan ada sambutan besar-besaran di Seri Gelam dan Larkin di mana kami akan menjulang Piala Liga Super buat kali keenam. Saya akan buat sesuatu yang berbeza sebagai hadiah kepada penyokong JDT.

“Saya mewakili pasukan ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua,” katanya. – MalaysiaGazette