Real madrid sedia menawarkan Asensio menggantikan Mane kepada Liverpool.

ENGLAND – Sadio Mane kini menjadi bintang buruan gergasi Eropah, Real Madrid untuk menghadapi kempen La Liga pada Ogos ini.

Skuad kendalian Zinadine Zidane dikatakan sedia menawarkan Marco Asensio kepada Liverpool untuk menggantikan Sadio Mane di Anfield.

Situasi itu kini mencetuskan ketegangan terhadap the Kops untuk mencari jalan mengelak bintang berkelas dunia itu berhijrah ke Santiago Bernabeu.

Mane menjadi pemain utama dibawah bimbingan Jurgen Klopp sejak menyertai Anfield dari Southampton pada tahun 2016.

Penyerang antarabangsa Senegal itu menjaringkan 59 gol dalam 123 penampilan bersama the Reds dalam semua perlawanan setakat ini.

Mane juga memainkan peranan penting dalam membantu Liverpool menjulang kejuaraan Eropah dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kedua musim lalu.

Real berulang kali dikaitkan sebagai destinasi baharu Mane untuk melengkapkan kariernya.

Laporan terbaharu akhbar tabloid di Sepanyol mendakwa juara 12 kali Liga Juara-Juara Eropah itu bersedia mengemukakan tawaran lumayan bagi mengikat khidmat pemain berusia 27 tahun itu.

Malah difahamkan bahawa Real bersedia membuka pintu luas untuk Jurgen Klopp membeli Asensio untuk Mane.

Liverpool juga dikatakan berminat dengan khidmat Asensio, yang melakukan 44 penampilan bersama Los Blancos musim lalu.

Namun Jurgen Klopp yang menyedari bakat luar biasa yang dimiliki Mane tidak sanggup kehilangan bintang berharga itu.

Mane juga sedar akan segala khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan penghijrahan ke La Liga namun berkata:”Ini adalah sebahagian dalam bola sepak dan kita harus menghadapinya”.- MalaysiaGazette