Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menuntut Menteri Belia dan Sukan melaksanakan janji yang dibuat berkaitan cadangan transisi penurunan umur dalam pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan & Pembangunan Belia 2007 pindaan 2019.

Sebelum ini, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah berjanji pindaan itu akan dibuat secara berperingkat-peringkat daripada 40 kepada 35 terlebih dahulu, bukannya terus kepada 30 tahun.

Janji itu dibuat semasa sambutan Hari Belia Negara 2019, kata Muhamad Nur Iman Abdul Khudus, Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Menurutnya, proses transisi secara berperingkat akan membuka ruang kepada sebahagian besar pertubuhan belia untuk lebih bersedia dengan dasar terbaharu itu.

“PKPIM sebagai antara gabungan pelajar dalam Majlis Belia Malaysia sentiasa komited dan menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan bagi memudakan kepimpinan pertubuhan belia seluruh negara.

“Namun, sewajarnya langkah ini dibuat secara berperingkat dan tidak terlalu drastik dengan mengambil kira kelestarian organisasi belia dari peringkat akar umbi hinggalah peringkat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan & Pembangunan Belia 2007 pindaan 2019 oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jelasnya, selari dengan agenda reformasi Parlimen dalam era Malaysia baharu, PKPIM juga mencadangkan agar rang undang-undang ini dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang.

Ini bagi membolehkan RUU tersebut diperhalusi sewajarnya serta membuka ruang konsultasi bersama seluruh pemegang taruh hal ehwal belia di Malaysia.

PKPIM juga tegasnya, berdiri teguh bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam menganggap perkara ini serta menggesa pimpinan belia seluruh negara berganding bahu bagi memastikan suara nurani belia tidak dipinggirkan kerajaan dalam apa-apa dasar berkaitan belia.

“PKPIM berharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak Ahli Parlimen yang rata-ratanya lahir dari rahim perjuangan belia. PKPIM menaruh setinggi kepercayaan kepada kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menangani isu ini secara bijaksana,” ujar beliau. – MalaysiaGazette