Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tengah) menerima Blueprint Plan 3PTEB dari Presiden PPTEM, Haris Fadzlah Mat Ali (dua kanan) sambil diiringi Penasihat Pertubuhan Pemerkasaan dan Transformasi Ekonomi Malaysia (PPTEM), Datuk Seri Marajoh Unding (kanan) pada Perasmian Konvensyen 3PTEB di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pemerkasaan dan Transformasi Ekonomi Malaysia (PPTEM) menyasarkan sehingga dua juta pengunjung ke pasar raya dalam taliannya, Rizqmall.my menjelang Oktober 2020.

Presidennya, Haris Fadzlah Mat Ali berkata, pihaknya optimis mencapai sasaran itu sekiranya kesemua 24,000 usahawan di bawah badan bukan kerajaan itu (NGO) di seluruh negara beroperasi sepenuhnya tahun depan.

“Ini adalah pelan yang kita lancarkan, Insya-Allah pada Oktober tahun depan, pada konvensyen 3PTEB 2020 bila semuanya (proses pematuhan syarat) sudah selesai, ahli kita sekarang ada 24,000 usahawan seluruh negara.

“Kita sasarkan akhir tahun depan dapat mencapai sehingga 2 juta (pengunjung),” katanya pada sidang media selepas Konvensyen 3PTEB 2019, Penyerahan Blue Print 3PTEB dan pelancaran portal hypermarket dalam talian, Rizqmall.my oleh Menteri Pembagunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Turut hadir ialah Penasihat PPTEM, Datuk Seri Marajoh Unding.

Rizqmall.my yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan itu menjadi pemangkin aktiviti usahawan secara maya khususnya kepada mereka yang tidak mendapat tempat dalam pasaran.

Pasar raya dalam talian itu dibangunkan oleh syarikat 3PTEB Berhad mula beroperasi sejak akhir tahun lalu mempunyai tiga jabatan besar merangkumi supermarket, sofline dan hardline. – MalaysiaGazette