Penyanyi, Aishah Ariffin (kiri) dan Peguam, Mohamad Izwan Azmi (kanan) hadir pada sidang media khas menjelaskan penghakiman persetujuan menerusi mediasi kes saman Aishah terhadap Datuk Vida mengenai isu berlian palsu di Ramziela Delights, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 03 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Usahawan jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Datuk Vida telah bersetuju menggantikan barang kemas berlian asli bernilai RM80,000 kepada penyanyi Aishah sebelum 17 Julai ini.

Peguam Aishah, Mazniza Mohd. Kamil memberitahu, pengasas produk jenama Qu Puteh itu juga telah menentukan sebuah kedai emas di Bangsar di sini bagi memberi hak sepenuhnya kepada Aishah untuk memilih berlian tersebut.

Jelas beliau, Vida akan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam satu sidang media khas yang perlu diadakan pada atau sebelum 17 Julai ini.

“Perkataan permohonan maaf spesifik perlu dinyatakan ketika sidang media tersebut dan Aishah tidak perlu berada bersama ketika itu.

“Pada masa sama, Datuk Vida perlu membayar kos sebanyak RM7,500 kepada peguam cara Aishah pada atau sebelum 7 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di sini hari ini yang turut dihadiri Aishah dan seorang lagi peguam, Mohammad Izwan Azmi.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan penghakiman persetujuan menerusi mediasi kes saman Aishah terhadap Vida mengenai isu berlian palsu di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Mohammad Izwan berkata, Aishah telah memilih dua butir berlian asli sebaik sesi mediasi itu berakhir pada Isnin lalu.

Jelas beliau, barang kemas itu belum lagi diterima kerana pihak Vida belum lagi membuat pembayaran.

Ditanya sama ada hadiah rantai emas sememangnya palsu, Mohamad Izwan berkata, isu tersebut sudah selesai dan tiada lagi perkara berbangkit selepas ini.

Tegas beliau, pihaknya hanya berpegang kepada laporan pakar yang disahkan ketulenannya sebelum ini.

Sementara itu, persengketaan antara Aishah dan Vida tercetus apabila penyanyi itu membuat pendedahan mengenai hadiah rantai bernilai RM80,000 yang ditaja usahawan kosmetik tersebut adalah palsu pada September tahun lalu.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu mengetahui bahawa barangan kemas yang diterima hasil hadiah kemenangan menjuarai progam Gegar Vaganza musim keempat itu bukan tulen selepas mengadakan pemeriksaan di kedai emas.

Rentetan daripada itu, persengketaan antara mereka berpanjangan sehinggalah Aishah membuat keputusan membawa kes itu ke mahkamah. – MalaysiaGazette