Wanita yang dikenali sebagai Burns membunuh diri selepas keluar dari penjara 1 Jun lalu.

LONDON – Seorang peguam wanita ditemui mati dipercayai membunuh diri selepas dibebaskan dari penjara.

Sebelum ini wanita itu dipenjarakan akibat meludah krew kabin pesawat selepas dilarang mengambil minuman keras.

Simone Burns, 50 disyaki membunuh diri selepas mayatnya ditemui di pesisir Pantai Beachy di East Sussex, London.

Wanita itu baru sahaja dibebaskan dari penjara wanita Bronzefield selepas menjalani hukuman penjara selama dua bulan ekoran memaki pramugari Air India.

Rakannya berkata, wanita itu dikecam netizen dan ia dipercayai menjadi punca dia membunuh diri akibat malu.

Jurucakap polis berkata, mayat wanita itu dijumpai pada 1 Jun lalu dan disahkan identiti sebagai Burns.

“Kematian tidak mencetuskan sebarang keraguan dan ahli keluarganya dimaklumkan berita kematian itu serta perkara ini telah dirujuk kepada pejabat Koroner,” katanya.

Mangsa disyaki meminta botol wine keempat secara berterusan semasa bersarapan sejurus selepas pesawat berlepas sebelum dinafikan krew kabin.

Wanita itu kemudian dikatakan mengamuk sambil memperkenalkan dirinya sebagai peguam yang bereputasi antarabangsa.

Pendakwaraya Lauren Smith berkata, Burns bangun dari tempat duduk sebelum mengamuk dan menyumpah.

Burns turut menerima amaran bertulis daripada kapten krew serta secara lisan namun dia tetap berdegil sebelum menjerit.

Burns ditahan di London dan dihadapkan ke mahkamah.

Hakim Mahkamah Isleworth Crown berkata, mereka yang mabuk dalam pesawat dan berkelakuan tidak sopan akan menerima hukumannya.

Burns diarah membayar pampasan sebanyak 300 pound kepada pramugari, Pervin dan penjara enam bulan. – MalaysiaGazette