Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Lebih baik bekas banduan daripada pekerja asing.

Itu gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mensyaratkan kepada para majikan di negara ini mengambil bekas banduan untuk bekerja.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mahu para majikan memberi peluang kepada bekas banduan yang sebenarnya lebih baik berbanding pekerja asing ekoran mereka ada menerima latihan tertentu semasa menjalani hukuman.

Menurutnya, langkah itu juga sebagai mengelak bekas banduan tersisih daripada masyarakat atau terjebak semula dengan jenayah.

“Majikan kena beri peluang kepada bekas banduan ini dan kerajaan menerusi KDN harus memainkan peranan agar bakat yang ada pada mereka dapat ditonjolkan sekaligus tidak akan berlaku perkara-perkara jenayah berulang,” katanya kepada Malaysia Gazette pada sesi sembang Kopi O, Nasi Lemak di kediamannya hari ini.

Sambil memberi contoh, syarat yang boleh dikenakan kepada golongan majikan, Nadzim memberitahu, sekiranya majikan membuat permohonan untuk mengambil 100 orang warga asing, 10 peratus daripadanya hendak diambil dalam kalangan bekas banduan.

Katanya, perkara itu bergantung kepada berapa ramai jumlah pekerja asing yang diperlukan oleh majikan berkenaan dan jumlah bekas banduan yang perlu untuk diambil bekerja mestilah tidak kurang daripada 10 peratus.

“Jika perkara ini dapat dilakukan oleh majikan saya percaya, golongan bekas banduan ini akan dapat mengecapi kehidupan yang lebih bermakna sama seperti orang lain.

“Kita tidak mahu persepsi negatif terus dilemparkan kepada bekas banduan kerana ia bukanlah satu perkara yang elok dalam membudayakan masyarakat harmoni,” ujarnya.

Dalam pada itu Nadzim berkata, meskipun perkara itu telah dilakukan sebagaimana inisiatif yang diambil oleh pihak Penjara Kajang apabila menyerahkan bekas banduan kepada majikan-majikan tertentu namun langkah tersebut dilihat masih belum memberangsangkan.

Jelasnya, perkara itu perlu sentiasa diuar-uarkan dan media mempunyai peranan penting menyampaikan maklumat agar dapat diterima masyarakat.

“Kita sangat berharap agar para majikan dapat memberi peluang kepada bekas banduan untuk memperbaiki diri, sekaligus dapat memberikan khidmat cemerlang kerana mereka sememangnya mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette