Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof bercakap kepada media pada Perasmian Program 'Street Raya' di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Gabungan Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mempelawa ahli-ahli UMNO dan Pas menyertai Amanah demi kelangsungan parti bertunjangkan Melayu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sekiranya ahli-ahli UMNO dan Pas keberatan untuk menyahut saranan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai parti itu, maka mereka mempunyai pilihan lain antaranya Amanah dan PKR.

“Kita pun alu-alukan masuklah Amanah, masuklah PKR, bukan kita cakap tentang parti. Tapi kita nak supaya Melayu itu dibawa kepada taraf dan tahap dalam keadaan Malaysia baharu yang lebih dinamik, progresif.

“Parti yang lain dah tepu dengan berbagai idea yang tak maju, dengan pelbagai isu rasuah yang berlaku maka kita tak melihat Melayu ada pilihan melainkan kepada parti yang ada, iaitu Bersatu, PKR atau Amanah,” katanya kepada media ketika menghadiri program “Street Raya” Masjid dan Surau Jumaat di Dataran Merdeka, hari ini.

Dalam satu acara di Johor Jaya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Pengerusi Bersatu itu berkata, kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu UMNO tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).

“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor, semalam.

Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, cadangan Dr Mahathir itu sememangnya baik buat penyatuan parti orang Melayu di negara ini.

“Kalau kita faham kenyataan itu, hari ini kita menuju Malaysia baharu.

“Kita tahu apa yang berlaku pada UMNO dan pemimpin-pemimpinnya. Kita juga tahu bagaimana Pas juga dalam keadaan sekarang bersama dengan UMNO yang tak boleh memberi kekuatan kepada satu dasar yang kita nak bawa bersama. Sebab tulah Dr Mahathir cadangkan bahawa parti-parti Melayu yang lain semua masuklah Bersatu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette