Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pengguna lebuh raya bertol akan terus dikenakan bayaran meskipun kerajaan bercadang untuk mengambil alih empat konsesi.

Ini kerana, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sudah mengumumkan bahawa caj kesesakan akan terus dikutip selepas tempoh konsesi tol ditamatkan.

Tambah bekas perdana menteri itu, para pengguna tol juga akan menanggung kos faedah dan pokok pinjaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta kos penyelenggaraan lebuhraya-lebuhraya ini.

Bekas menteri kewangan itu juga berkata, ketika kerajaan Barisan Nasional mansuhkan tol seperti di tol Batu Tiga di Shah Alam, Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam di Kedah dan EDL di Johor., tol Cheras, tol-tol di Sarawak dan lain-lain, plaza tol dirobohkan sepenuhnya.

“Tapi bila PH janji mahu mansuhkan tol pula, tol dijenamakan semula menjadi caj kesesakan dan dikutip untuk selama-lamanya termasuk selepas konsesi tol tamat.

“Janji Tol-Free PH sebenarnya ialah janji untuk Tol-Forever,” ujarnya yang mengulas kenyataan Tony Pua yang memaklumkan kerajaan tidak mengeluarkan wang untuk mengambil alih empat syarikat konsesi tol.

Lebuh raya tersebut ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) yang ditawarkan pada harga RM2,470 juta, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dengan harga RM1,984 juta, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ditawarkan RM1,377 juta dan Terowong SMART sebanyak RM369 juta.

Nilai keseluruhannya membabitkan RM6.2 bilion.

Guan Eng yang mengumumkan cadangan pengambilalihan itu Jun lalu berkata, ia bagi merealisasikan janji kerajaan pakatan harapan bagi mengurangkan beban pengguna.

Jika proses pengambilalihan lebuhraya bertol ini berjalan secara lancar, kerajaan, melalui sebuah syarikat tujuan khas , SPV iaitu anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), akan mengambil alih lebuhraya-lebuhraya tersebut pada 31 Disember ini. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/06/pengambilalihan-4-konsesi-tol-tidak-guna-duit-kerajaan/