Dr. Mohd Hatta Md Ramli.

PARIT BUNTAR – Peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terjejas akibat pelaksanaan cukai gula ke atas minuman bergula bermula 1 Julai ini boleh mengemukakan rayuan penangguhan kepada pihak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata setiap permohonan rayuan perlu memberikan alasan munasabah untuk pertimbangan sewajarnya.

“Keadaan itu menyebabkan ada peniaga yamg menangguhkan perniagaan mereka kerana mendakwa cukai yang dikenakan itu tinggi.

“Saya harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) boleh selesaikan masalah ini apabila menerima rayuan dari kalangan peniaga untuk dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar dan Dialog Keusahawan 2019 anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPKM) Daerah Kerian di sini hari ini.

Beliau mengulas keluhan pengusaha IKS mengenai pelaksanaan cukai gula 40 sen seliter kuatkuasa 1 Julai lalu.Hatta berkata usaha pelaksanaan cukai yang dibuat kerajaan bertujuan untuk memastikan kesihatan orang ramai supaya kawalan terhadap pengambilan gula berlebihan dibuat.

Sementara itu, Hatta mencadangkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahaniaga Nasional (Tekun Nasional) mengambil inisiatif untuk memperluaskan kaedah pinjaman tabung itu mengikut model pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak 2015.

Menurut beliau kaedah itu membabitkan pinjaman berkumpulan melibatkan lima peserta dalam satu kumpulan yang boleh memberikan impak bayaran balik pinjaman positif.

“Melalui kaedah itu juga proses mendapatkan kelulusan permohonan pinjaman dapat dikurangkan bagi membantu usahawan mendapatkan pinjaman dengan mudah di samping mendapatkan balik pinjaman dengan mudah,” katanya.- BERNAMA