Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menyambut baik keputusan S&P Global Ratings (Standard and Poor’s) pada 3 Julai lalu yang mengiktiraf semula penarafan kredit Malaysia pada taraf A- dengan jangkaan stabil.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengekalan penarafan itu menunjukkan keyakinan syarikat penarafan kredit antarabangsa tersebut terhadap unjuran pertumbuhan negara yang pesat, profil institusi negara yang baik, asas ekonomi yang kukuh serta pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan yang rapi.

Jelas beliau, penarafan itu juga mencerminkan kenaikan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskan penarafan kredit kerajaan terutama sekali apabila jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti Kerajaan telah dikurangkan.

“Antara faktor utama pengekalan penarafan kredit Kerajaan pada A- adalah prospek ekonomi Malaysia yang sihat. Bank Dunia telah mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk tumbuh setinggi 4.6 peratus pada tahun ini.

“Kadar inflasi yang rendah dan stabil pada 0.2 peratus untuk bulan Mac, April dan Mei telah menggalakkan pertumbuhan perbelanjaan penggunaan swasta. Tambahan lagi, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memotong Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus telah mengurangkan kos pinjaman bagi pengguna.

“Kesannya dapat dilihat, antara lain, daripada bilangan kenderaan yang dijual untuk tempoh Januari hingga Mei 2019 telah meningkatkan sebanyak 13 peratus tahun-ke-tahun berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menambah, pada masa yang sama, lencongan perdagangan yang berpunca daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat telah membolehkan pertumbuhan eksport Malaysia sekali lagi mengatasi unjuran pasaran.

Menurutnya bagi bulan Mei 2019, eksport negara telah naik 2.5 peratus kepada RM84.1 bilion daripada RM82.1 bilion setahun lalu dan peningkatan 2.5 peratus itu mengatasi konsensus pasaran serendah 2.2 peratus seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Kata beliau, pertumbuhan eksport yang berterusan ini telah meningkatkan lebihan dagangan negara untuk 5 bulan pertama tahun 2019 sebanyak 4.3 peratus kepada RM56.8 bilion daripada RM54.5 bilion setahun lalu.

“Pelaburan langsung asing atau foreign direct investment (FDI) yang diluluskan bagi suku pertama tahun 2019 telah meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion setahun lalu.

“Pertumbuhan suku pertama ini dipacu oleh kenaikan FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan sebanyak 127 peratus kepada RM20.2 bilion berbanding RM8.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast