Faizal Ismail atau FBI

KUALA LUMPUR – Pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail, 43, yang popular dengan panggilan FBI akan melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Cardiff University, United Kingdom pada September ini.

Menerusi Instagramnya, bekas penyampai radio Hot FM itu berkata, dia bakal menyambung pengajian dalam bidang Industri Kreatif bagi memberi manfaat kepada dirinya dan Malaysia.

“Insya-Allah sekiranya tiada apa-apa aral, saya akan melanjutkan pelajaran ke peringkat Master di Cardiff University, UK pada September ini.

“Sesuatu yang sudah lama saya rancang namun kerana urusan peribadi dan bisnes maka tahun ini, Allah izinkan.

“Master dalam bidang Industri Kreatif (Creative Industries) yang akan saya manfaatkan untuk diri sendiri dan Malaysia,” tulisnya.

Dalam pada itu, Faizal berkata, sepanjang pengajiannya nanti, bisnes makanan yang diusahakan akan berjalan seperti biasa.

Pemenang Anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular selama enam tahun berturut-turut pada Anugerah Bintang Popular (ABP) itu turut merancang untuk membawa produk jualannya bagi dipasarkan di sana.

“Apa pun, bisnes akan tetap berjalan seperti biasa kerana sudah ada team yang menguruskan.

“Saya juga akan membawa produk ‘Ready to Eat’ ini untuk diperkenalkan di sana,” ujarnya.

Pada masa sama, Faizal memberitahu, program temu bual dalam talian bersama pengacara Fara Fauzana iaitu Dbilique akan diteruskan dengan pengisian berlainan sepanjang berada di luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast