Datuk Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR –  Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada 7 Mei lepas, telah melonjakkan kelulusan pinjaman sebanyak 13 peratus pada bulan itu (Mei) berbanding bulan sebelumnya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa kelulusan pinjaman pada April iaitu bulan sebelum OPR diturunkan, mencatatkan penurunan satu peratus berbanding Mac.

“Pada masa yang sama, kelulusan pinjaman motorsikal dan kereta penumpang masing-masing turut melonjak 7.8 peratus dan 23.3 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai keberkesanan langkah BNM menurunkan OPR bagi merangsang aktiviti pelaburan dan perbelanjaan domestik.

“Dari April ke Mei 2019, jumlah pembayaran pinjaman mencatatkan pertumbuhan bulanan -6.8 peratus manakala sebelum itu, dari Mac ke April, pertumbuhan bulanan adalah sebanyak -0.4 peratus.

“Pengurangan jumlah bayaran balik ini memberi kesan positif kepada aktiviti pelaburan dan perbelanjaan swasta,” katanya.

Amiruddin berkata sektor isi rumah mendapat manfaat daripada penurunan komitmen pembayaran bulanan, yang seterusnya meningkatkan pendapatan boleh guna, manakala sektor korporat pula menikmati pengurangan kos dalam menjalankan perniagaan.

Beliau berkata penurunan OPR itu memastikan ekonomi negara terus berada pada landasan pertumbuhan yang mapan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan yang kukuh.

Menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai kesan penjualan bon Malaysia oleh pelabur asing disebabkan oleh penurunan OPR, dan pengaliran dana keluar, terutama ke Amerika Syarikat berikutan peningkatan kadar faedah di negara kuasa ekonomi dunia berkenaan, Amiruddin berkata, perkara berkenaan adalah di luar kawalan kerajaan.

“Bukan sahaja Malaysia yang terkesan dengan fenomena ini, pasaran di negara ASEAN yang lain turut terkena tempias yang sama,” katanya.

Beliau berkata, penurunan OPR setidak-tidaknya telah meningkatkan kebolehupayaan rakyat Malaysia, terutama industri kecil dan sederhana (IKS), bagi mendapatkan pembiayaan daripada bank pada kadar yang lebih munasabah selain meningkatkan kadar pendapatan boleh guna isi rumah. – MalaysiaGazette