Tony Pua

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua mendakwa kutipan yang dijana daripada caj kesesakan mencukupi untuk membiayai kos pengambilalihan lebuhraya walaupun aliran trafik didapati menurun.

Malah katanya, jumlah kutipan itu masih lagi mencukupi jika pengguna dikenakan caj yang lebih rendah daripada kadar tol semasa.

“Di bawah cadangan yang baru, selepas tempoh konsesi lebuhraya asal tamat, caj kesesakan akan dikurangkan sekali lagi dengan signifikan bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya.

“Caj ini tidak akan mengandungi sebarang unsur keuntungan. Sekiranya caj kesesakan tidak dikutip, kos tersebut masih perlu ditanggung oleh pihak Kerajaan dan pembayar cukai secara amnya,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP hari ini.

Pada Ahad lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memetik pandangan pakar berkata, antara mereka  berpendapat jumlah trafik untuk kesemua lebuh raya ini sedang menurun setiap tahun sejak 2015.

Penurunan trafik itu adalah akibat projek-projek infrastruktur rakyat kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti projek sambungan jajaran Aliran Transit Ringan (LRT) 1 serta LRT2, Aliran Transit Massa (MRT) dan pemansuhan tol Lebuhraya Persekutuan, katanya.

Jumlah trafik LDP jatuh 1.9 peratus pada tahun 2016 dan jatuh 2.9 peratus pada tahun 2017, jumlah pengguna Kesas jatuh lima peratus pada tahun 2018 dan trafik Terowong Smart telah jatuh 30 peratus sejak tahun 2015.

Malah Najib menerusi laman Fecebooknya memberitahu, pembelian empat konsesi lebuh raya bertol pada harga RM6.2 bilion, hanya sekadar menguntungkan syarikat konsesi dan tidak menguntungkan rakyat.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mahu mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart).

Bagaimanapun, menurut Tony, jika pengambilalihan konsesi tol itu tidak dilakukan, kerajaan masih perlu membayar sekurang-kurangnya RM5.3 bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol semasa sehingga akhir hayat konsesi.

“Jumlah ini juga akan menyumbang kepada keuntungan besar syarikat konsesi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.