Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) kelihatan melintasi kubah mahkamah semasa tinjauan Lensa Malaysia Gazette sekitar Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2017

KUALA LUMPUR –  Isu prestasi syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB) merupakan antara yang dibangkitkan anggota Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) dijadual mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk memulihkan prestasi MAB serta sejauh manakah keberkesanannya sehingga ke hari ini.

Soalan pada sesi soal jawab lisan berkenaan dijangka dijawab sendiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-94 pada hari ini.

Semalam (Selasa), Dr Mahathir berkata kerajaan sudah menerima empat tawaran daripada syarikat yang berminat untuk mengambil alih MAB, namun belum ada sebarang keputusan dibuat berkenaan tawaran pengambilalihan itu, dan kerajaan perlu meneliti kesemua cadangan yang dikemukakan.

Turut dijangka menarik perhatian ialah soalan Awang Hashim (PAS-Pendang) kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengenai kesan ke atas ekonomi Malaysia ekoran risiko ketidaktentuan persekitaran global khususnya antara Amerika Syarikat dan China mutakhir ini.

Sidang Dewan Rakyat hari juga dijangka membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat (Pindaan) 2019, bertujuan meminda Akta Syarikat 2016. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast