ACP Noorzainy Mohd Noor

KEPALA BATAS – Polis kini memburu seorang lelaki yang mengugut untuk mencederakan ibunya dengan sebilah parang selepas gagal mendapatkan wang yang dimintanya untuk membeli dadah semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini berkata lelaki dalam buruan itu berumur 24 tahun dan telah melarikan diri selepas ibunya membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang di rumah mangsa di Taman Kuala Bekah, Penaga di sini.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah ini memang selalu mengamuk jika tidak diberikan wang untuk membeli dadah namun kali ini dia (mengugut) menggunakan parang,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya sepasukan polis telah pergi ke rumah mangsa selepas menerima laporan itu dan menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa, namun suspek sudah tidak berada di tempat kejadian.

“Polis kini sedang giat memburu lelaki ini dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah,” katanya.

— BERNAMA