Lantai bas sekolah yang menyebabkan kematian seorang murid Tahun Enam di Machang, Kelantan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR- Bas sekolah yang dikatakan mempunyai rantai reput sehingga menyebabkan seorang pelajar tahun enam terjatuh dan meninggal di Kelantan baru-baru ini berada dalam keadaan baik.

Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) mengesahkan, bas yang terlibat dalam insiden itu telah melalui pemeriksaan berkala pada bulan Mei.

“Berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan, Puspakom telah memeriksa bas tersebut mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Kesemua item pemeriksaan pada bas sekolah tersebut adalah berada dalam keadaan baik.

“Sehubungan itu, Puspakom menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian yang tidak berasas yang boleh menambahkan lagi kesedihan keluarga mangsa dan serahkan kes ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, ia telah menghantar laporan pemeriksaan sekolah selepas kemalangan kepada pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dua hari lalu namun tidak boleh mengulas lanjut mengenai laporan berkenaan kerana kes masih di bawah siasatan polis.

“Walau bagaimanapun, Puspakom ingin menegaskan bahawa kami tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Menurut data pemeriksaan Puspakom bagi bas-bas sekolah bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019, sebanyak 28 peratus atau 7,300 buah bas sekolah daripada 26,000 pemeriksaan berkala dilakukan telah gagal pemeriksaan Puspakom kerana tidak mengikut piawaian.

“Ini merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan. Rekod ini jelas menunjukkan bahawa Puspakom tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan,” tegasnya.

Dalam kejadian 4 Julai lalu seorang murid Tahun Enam di sebuah sekolah di Machang, Kelantan meninggal dunia selepas terpijak lantai bas yang telah reput dan terjatuh di atas jalan ketika bas berkenaan sedang bergerak.

Mangsa Wan Muhammed Adam Mohd. dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 12.50 tengahari.

Difahamkan dalam kejadian tersebut, Wan Muhammed Adam bersama beberapa orang rakan sedang berdiri berhampiran tangga bas yang dikatakan terdapat bahagian lantai yang telah reput tetapi dialas dengan sesuatu.- MalaysiaGazette