Wan Agyl Wan Hassan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang penggangguran belia sebagai satu fenomena biasa sesuatu yang mengecewakan.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pemantauan Ekonomi Rakyat (Pantau) merangkap Pemuda UMNO Malaysia, Wan Agyl Wan Hassan, kenyataan Mahathir itu tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin utama kerajaan.

Kata Wan Agyl, kerajaan sebenarnya mati akal dalam menguruskan isu itu dengan sengaja mahu dengan menyalahkan belia yang tidak cukup kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidakpadanan kemahiran.

“Pada masa kini, kadar pengangguran belia berada di tahap yang agak tinggi iaitu pada 10.9 peratus, 3 kali ganda daripada kadar pengangguran negara. Kerajaan kini yang tidak tahu bagaimana mahu menangani perkara ini berterusan menyalahkan golongan ini.

“Ini adalah satu penghinaan kepada golongan belia bila mana kerajaan menyalahkan golongan belia berkenaan hal ini walhal ketidakcekapan kerajaan menguruskan isu ini telah menjadikan belia semakin menderita untuk menguruskan kos sara hidup mereka.

“Keadaan ini akan menjadi lebih teruk bila mana lebih ramai golongan pekerja diberhentikan oleh majikan atas alasan pengurangan kos operasi dan langkah penjimatan.

“Cuba bayangkan sahaja keadaan masa kini pun golongan belia sukar mendapatkan pekerjaan, ditambah pula dengan lambakan golongan pekerja yang diberhentikan, maka persaingan untuk mendapatkan perkerjaan akan bertambah sengit. Apa sebenarnya akan berlaku?

“Sudahlah begitu, akhirnya golongan ini juga dipersalahkan malah Perdana Menteri mengatakan ianya satu fenomena biasa?,” katanya hari ini.

Wan Agyl yang juga Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO menambah, hakikatnya bukan sahaja golongan belia sahaja sukar mencari pekerjaan sebaliknya untuk memandu Grab sebagai alternatif juga sudah menjadi satu beban kerana peraturan baharu dikenakan kerajaan.

“Untuk pandu Grab juga sukar bila mana peraturan baru yang dikenakan oleh kerajaan dilihat agak sukar untuk dipenuhi oleh pemandu terutamanya pemandu separuh masa yang ingin mencari duit poket tambahan.

“Apa yang kita lihat ketika ini tidak lebih daripada prestasi ekonomi negara yang semakin hari semakin teruk dan ia kini memberi kesan secara langsung kepada semua perniagaan di dalam negara sehingga memaksa syarikat-syarikat untuk melaksanakan langkah penjimatan seterusnya merencatkan peluang belia untuk mendapatkan pekerjaan.

“Lebih tepat lagi pandangan ini menunjukkan bagaimana tidak cekapnya kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara.

“Apa yang lebih merisaukan Pemuda UMNO ialah keadaan ini lama-kelamaan isu penggangguran akan membawa kepada isu kualiti hidup termasuklah masalah-masalah sosial yang akan membawa kepada kebimbangan masyarakat untuk menjalani hidup yang aman damai di negara ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette