MUAR – Tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengelakkan bahan kimia Sodium Flourite yang bocor dari sebuah kilang elektronik di kawasan perindustrian Tanjung Agas di sini daripada merebak ke kawasan sekitar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, kebocoran itu berlaku pada tiga daripada empat tong biru tua berisi 220 liter bahan kimia itu di kilang tersebut.

Menurutnya, sepasukan bomba dengan lapan anggota digegaskan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pukul 10.54 pagi.

Beliau berkata, kebocoran itu dipercayai melibatkan tidak sampai seliter bahan kimia itu yang mengalir dan pihak bomba terpaksa melakukan kerja-kerja kawalan bagi mengelakkan bahan itu daripada terus merebak.

“Tindakan awal oleh pihak Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) premis berkenaan dengan menggunakan abu soda juga telah membantu menyerap bahan kimia berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui maklumat diterima daripada pihak premis, kebocoran itu dipercayai berlaku disebabkan kemungkinan ada bahan kimia lain yang bercampur.

Rafiah berkata, kerja-kerja pemindahan bahan kimia itu bermula jam 2.30 petang dan setakat pukul 3.30 petang ia masih dijalankan bersama pihak swasta yang dilantik oleh pihak premis bagi tujuan pelupusan. – Bernama