KUALA LUMPUR – Pengeluar minuman arak, Heineken Malaysia Berhad berkata syarikat pengeluar produk minuman kosong peratus alkohol itu tidak akan memohon sijil penarafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut syarikat itu, jenama Heineken® 0.0 adalah produk tidak halal dan permohonan sijil halal dilihat tidak perlu walaupun minuman tersebut dikategorikan sebagai kosong peratus alkohol.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Heineken berkata, produk berkenaan dilarang untuk dijual kepada umat Islam, malah hanya boleh dibeli oleh individu bukan Islam berusia 21 tahun ke atas.

“Heineken® 0.0 hanya untuk orang bukan Islam berumur 21 tahun ke atas sahaja.

“Semua produk ini semestinya diletakkan di zon bukan halal dalam pasar raya dan kedai-kedai serbaneka dengan papan tanda yang jelas menunjukkan bahawa produk tersebut adalah dilarang untuk dijual kepada individu 21 tahun ke atas sahaja,” kata Pengurus Komunikasi Korporatnya, Ng Eng Kiat.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa iklan kosong kandungan alkohol dalam produk syarikat itu mengelirukan umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, sekiranya minuman itu bebas alkohol, ia tidak boleh dinamakan arak sama sekali.

“Saya tidak faham sebenarnya, kalau kosong peratus alkohol, kenapa nak sebut arak.

“Arak adalah arak, kalau bukan arak jangan namakan alkohol halal,” katanya semalam.

Isu kandungan kosong alkohol diiklan di akhbar The Sun bertarikh 8 Julai 2019.

Ia memaparkan poster minuman zero-alcohol keluaran syarikat Heineken dengan slogan “Now You Can”.

Ia menjadi tular apabila jelas menunjukkan bahawa minuman itu tidak mengandungi alkohol. – MalaysiaGazette